Pages

Tuesday, 6 November 2012

#teringat : Darjah Satu


Sewaktu saya berada di darjah satu dahulu, saya memang skema. Terlampau skema. Ke mana-mana pun mesti bawa bersama sapu tangan yang ada corak kartun. Saya memang kuat berhingus pada waktu pagi. Sejak dari kecil lagi. Sebabnya banyak, mungkin alah atau mungkin suka tidur lewat. Kelakar.

Saya dahulu kecil sahaja. Rendah teramat. Budak-budak lain adalah juga badan besar, tinggi. Rasanya memang saya sahaja yang kecil. Dalam kelas 1 Gigih itu pun memang saya paling kecil rasanya.

Dapat 100% untuk peperiksaan pun rasanya sekali sahaja untuk Matematik. Seingat sayalah. Setakat membaca saya memang bolehlah waktu itu. Alhamdulillah. Mak yang ajar. Terima kasih, mak!

Bahasa Inggeris rasanya memang saya terlampau lemah waktu itu. Ada soalan suruh letak "The", "A" dengan "An" dalam tempat kosong. Selepas itu ada contoh sekali dia bagi. Jadi adalah perkataan "e.g" di situ. Macam biasalah. Tidak mungkin anda sendiri tidak faham maksud dua huruf itu. Tidak faham juga? Example-lah. Kelakar.

Yang paling tidak tahan, saya pun isilah perkataan "e.g" dalam tempat kosong yang ada. Cikgu datang tengok-tengok. "Salah ni." Baik betul dia. Terima kasih cikgu. Sudah padam pun semua tempat kosong yang ada diisi dengan "e.g" namun, masih tidak dapat letak jawapan yang betul. Akhirnya, dapatlah keputusan kertas Bahasa Inggeris dengan markah yang sekadar lulus yang saya sudah tidak ingat berapa. Haru.

Saya pernah rotan budak. Rotan kawan sekelas dengan bulu ayam (pembersih habuk). Itu pun, saya telah dilantik menjadi ketua kelas oleh Puan Sarina, cikgu kelas 1 Gigih. Tiba-tiba sahaja dilantik jadi ketua kelas. Saya disuruh menggantikan tempat budak lelaki yang bernama Superman (bukan nama betul). Kata cikgu, budak tersebut tidak menjalankan tugas.

Kisah rotan ini pula, memang kisah yang betul. Saya rotan penolong saya sendiri. Ain Aqilah nama dia! Masih lagi berhubung sampai sekarang. Sebab apa saya rotan dia? Sebab dia tidak menjalankan tugas jadi, saya pun rotan dia. Asyik tidur sahaja kerja dia.

Sampai menangis rasanya dia, saya rotan. Yang paling saya rasa susah adalah apabila saya disuruh menjaga kelas dan menuliskan nama siapa yang ada membuat bising sewaktu guru tiada. Memang menyusahkan. Malas betul rasanya.

Muntah. Saya memang asyik muntah sahaja waktu kecil. Entah sebab apa pun tidak tahulah. Sejak dari zaman tadika lagi. Suatu hari saya pening kepala dan minta untuk tidur di dalam kelas. Cikgu pun izinkan. Bangun daripada tidur, saya termuntah. Habis. Malu. Kawan yang duduk di sebelah nama dia Haziq. Cikgu kata, "Haziq, ada sapu tangan? Bagi Khair pinjam dahulu." Budak itu pun dengan teragak-agak bagi pinjam 'sapu tangan Jepun' dia. Kasihan betul dia. Saya ingat lagi budak baik ini. Dia kalau ke sekolah agama selalu pakai baju melayu teluk belanga, tinggal dekat jalan Jenjarum. Sekarang sudah tidak jumpa dia lagi. Sudah pun ke mana entah.

Muntah lagi. Kali ini di tapak perhimpunan. Seorang ustaz yang rasanya ada rupa mamak datang tolong saya. Dia angkatkan beg saya. Saya pun seharian tidur di bilik sakit pada hari itu. Selepas terbangun, sudah berbunyi loceng tanda sesi persekolahan sudah berakhir. Saya teringat tentang beg sekolah saya yang berwarna hijau coklat dan biru tersebut. Saya cari ustaz tersebut dan akhirnya jumpa dia di dalam kelas budak-budak darjah enam tidak silap.

Macam nak menangis. Terdengar ada yang ejek, "Baby, baby.". Memang rasa nak menangis. Selepas ambil beg, saya terus balik.

Siapa lagi kawan sekelas dalam 1 Gigih ya? Tidak berapa ingat. Adlina Aina sahaja yang saya ingat. Dan yang telah disebutkan di atas tadi. Muka Puan Salina pun saya sudah tidak ingat macam mana rupa.

Demikianlah kisah darjah satu saya. Bukan main gembira sebenarnya sewaktu dapat naik ke darjah satu. Zaman kanak-kanak memang indah. Buat perangai kanak-kanak pun tak akan kena marah punya. Kalau sekarang, jangan mimpilah.

0 comments:

Post a Comment